Buat pekerja semua, teruslah hidup [Credit : WKKhuzairey]
Ayah saya dahulu merupakan seorang buruh binaan. Perginya pagi pulangnya petang. Ada satu ketika dia pulang lambat ke rumah dari kebiasaannya. Kami tiada telefon untuk menghubungi satu sama lain.
Kerisauan yang dialami ditukarkan menjadi doa kerana bagi yang miskin itu satu satu pengharapan yang ada kerana segala usaha dibatasi dengan kewangan.
Matahari perlahan-lahan menghilangkan sinarnya, tiupan angin senja sudah mula mengambil tempat. Emak sudah mula menangis kerisauan. Saya dan abang menunggu ayah dihadapan rumah sepertinya untuk jadi orang pertama yang menjerit bila bayang ayah kami kelihatan.
Sekitar kami bertukar gelap tepat jam 8.30 ada suluhan lampu dari motosikal cabuk. Rupanya teman sekerja ayah membawanya pulang. Kami memanggilnya wak. Muka abah kelihatan pucat dan berpeluh tanganya berbalut.
Rupa-rupanya tangan sebelah kanan telah termasuk dalam mesin pembacuh simen. Dia menarik paksa tanganya untuk elak sebarang kecederaan. Kesannya tanganya membengkak biru dan lembik.
Kami sekeluarga menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Sambil mempertanyakan kenapa ayah tidak ke hospital. Jawapnya mudah “sikit je, kalau abah kena tahan nanti macam mana nak dapat duit? Dapur tak ada makanan tu.”
Sedari itu saya sedar ungkapan miskin dilarang sakit amat bersesuaian terhadap buruh yang dibayar gaji rendah.
Esoknya ayah terus bekerja dengan gagah, saya nampak bayang-bayang wira dalam diri ayah saya sangat kagum. Namun cukup sebulan ayah bekerja, majikannya lari membawa duit. Pekerja luar yang tiada permit ditangkap.
Ayah pula tersisksa kerana tidak dibayar gaji. Itu kali pertama saya lihat wira yang saya kagumi putus harapan.
Kami sudah berhari-hari tidak ada makanan seimbang hanya mengharapkan pucuk ubi di tepian jalan. Emak akan petik tiap petang untuk mengisi perut. Beras pula dibeli cupak demi cupak. Abah akan menyuap kami adik beradik untuk pastikan semua perut terisi.
Itulah pengorbanan seorang buruh yang tidak pernah dirasai bagi mereka yang cukup sumber dan harta. Sebab itu sambutan hari buruh besar maknanya terutama bagi yang bekerja tetapi miskin.
Hari buruh adalah hari merefleksi mempertanyakan diri sejauh mana telah kita melayah buruh seluruh dunia, adakah mereka mendapat bayaran yang setimpal, adakah mereka hidup dalam keadaan bermaruah, bagaimana pula sistem ekonomi kapitalisme yang menjerat kini.
Hari inilah hari untuk kita berhenti sejenak dan berfikir tentang kebajikan semua.
Buat semua pekerja pembersih, buruh binaan, operator kilang, pengawal keselamatan, petani dan penternak, guru, doktor dan semua yang bekerja selamat hari buruh saya ucapkan!
Tidak lupa juga bagi pekerja baik dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam, Filipina dan negara—negara luar yang sering menerima hujatan, diskriminasi, prejudis anda juga merupakan pekerja yang bermaruah.
Anda bekerja buat kami semua siang dan malam. Besar pengorbanan itu tidak akan kami lupakan Teruskah hidup dan berbakti, kerana manusia sifatnya akan terus bekerja. Panjang umur keadilan!
Comments
Post a Comment