PENJUAL DURIAN DARI ACEH VS PEMUDA TEMPATAN GRAB FOOD
Credit : Fairus Mohd Tabiee
Musim durian datang lagi. Nampaknya kali ini meriah. Harga pun tak terlalu mahal. Aku berhenti di salah satu khemah jualan durian balik dari fisio Ziyad. Pekena sebiji dua udang merah.
Aku berbual-bual dengan penjual ini. Dari gaya bahasanya, aku yakin sangat dia bukan orang tempatan. Pemuda ini lingkungan pertengahan 20 an.
"Dari Aceh ya dik?".
"Ya cari makan bang".
"Durian dari mana ni".
"Ini durian Muar bang".
"Dusun siapa? Cina?".
"Tak lah bang, Orang Melayu".
"Ambil direct dari dusun".
"Ya bang, hari ini sudah 3 lori sampai".
"Adik tidur di mana? Nanti malam orang curi duriannya".
"Tidur disini saja bang, itu bawah meja".
Pemuda itu menunjukkan bilik kecil yang dibina bawah meja durian, ada bantal, toto dan kipas yang sudah tertanggal jaring depannya. Bilik itu hanya boleh baring, jika mau duduk kepala pasti terhantuk meja.
Aku di sini hampir 1 jam. Bersembang-sembang. Pandai juga pemuda Aceh ini berbual sambil dia melayan pelanggan yang datang.
Aku lihat kenderaan berhenti dan membeli durian tidak putus-putus. Dalam 1 jam sahaja, rasanya lebih 20 pelanggan. Dia mengarah 2 orang pekerja Aceh yang lain sambil melayan aku berbual.
Orang Aceh jual durian di tepi jalan bukan satu yang janggal di tempat kita. Baik di Bangi, Klang, Cheras, Balakong. Ramai sudah aku jumpa.
Aku terfikir, mana perginya pemuda-pemuda bangsa aku. Kenapa tak mahu ambil peluang ini. Mereka boleh buat ratusan ribu satu musim. Durian ini memang laku keras.
Selesai aku makan durian, memandangkan air tak ada, aku terus memandu pulang dan singgah di restoren mamak minum sekejap.
Aku lihat di depan ku, ada anak muda seusia pemuda Aceh tadi, mereka sedang main game di telefon sambil nyonyot keset (vape). Menjerit-jerit keseronokan dengan kawan-kawan. Di kiri kanan ku juga begitu.
Aku menyapa sorang pemuda di sebelah,
"Dik kerja mana?"
"Tak kerja pakcik. Saya baru register Grab Food".
"Hari ni tak ceduk ke? (Ceduk tu bahasa geng2 rider)?".
"Harini tak larat pakcik, panas".
"Tak minat jual durian? Musim durian ni boleh buat duit tau".
"Tak minat lah pakcik, saya nak kupas durian pun tak pandai, saya pandai makan je", sambil tergelak-gelak.
Aku pun gelak bersama. Aku akhiri perbualan dengan pesanan,
"Awak bawa motor tu hati-hati, kalau hujan berhenti dulu. Utamakan keselamatan. Awak bawa makanan tu jangan willie pulak, pening orang makan makanan tu nanti". Saja aku berseloroh.
Dia mengangguk dan tersenyum.
Pemuda Aceh dan pemuda bangsaku ini keduanya orang baik. Pandai hormat orang tua. Ya rezeki mereka berbeza-beza. Pemuda Aceh itu ada rezekinya. Adik di kedai mamak itu juga ada rezekinya. Kedua-duanya rajin.
Namun.... (korang sambunglah sendiri).
Nota : Ini gambar hiasan. Gambar gerai Aceh lupa nak tangkap.
Begitulah...
Comments
Post a Comment