BEGINIKAH CARA KITA BERAGAMA? Credit : Zolkharnain Abidin Al Abyandhi
BEGINIKAH CARA KITA BERAGAMA? Credit : Zolkharnain Abidin Al Abyandhi
1) 10.30 pagi - Pada jam ini, jika anda dalam perjalanan dan singgah di masjid - kerana hajat khusus - dan anda dapati 13 pemuda Islam sedang tidur dengan nyenyaknya di ruang sembahyang, apa persepsi anda?
2) Sementara pada masa ini juga, di luar pagar masjid, beberapa pemuda juga - warga asing - sedang menggalas mesin rumput di tengah mentari yang mula membahang, apa pula persepsi anda?
3) Ya, para pemuda Islam ini malam tadi menghabiskan malam beribadat sempena , mungkin. Namun, adakah itu menjadi tiket untuk tidur sehingga mentari mula membahang?
4) Ya, mungkin pemuda Islam ini bekerja malam tadi. Pengawal keselamatan misalnya. Namun, adakah itu menjadi tiket juga untuk tidak balik ke rumah dan menyantuni keluarga?
5) Ada juga seorang lelaki separuh umur tidur di tepi dinding, namun tidurnya tidaklah seperti para pemuda Islam tadi. Mereka tidur lengkap bertilam, berbantal dan berselimut. Adakah ini tidur kerana keletihan bekerja?
6) Bukankah hari ini Rabu, hari semua orang bekerja? Apa kerja pemuda Islam ini sehingga boleh tidur pagi senyenyak itu?
7) Beginikah cara kita beragama? Menjadikan Tuhan sebagai alasan untuk bermalas-malas mengejar kehidupan duniawi? Membiarkan dunia diambil oleh orang lain dengan alasan, "Kami kejar akhirat...!"
8) Jika orang masjid ingin tampar orang, inilah manusia yang layak ditampar. Jika mahu pasang speaker kuat-kuat, ke telinga golongan inilah speaker itu harus dihalakan.
9) Tapi orang masjid pun tak kisah. Sebab, mereka ini pemuda yang tidur dalam ibadat. Tidur mereka kerana letih beribadat malam tadi demi Tuhan.
10) Saya cuba berbaik sangka dengan kumpulan pemuda Islam ini, namun saya gagal kerana gaya dan penampilan mereka menyerlahkan gaya beragama mereka.
11) Saya cuma sedang berfikir, bagaimana agaknya persepsi orang bukan Islam jika mereka secara tiba-tiba berkunjung ke masjid dan terserempak dengan kumpulan pemuda Islam yang sedang tidur nyenyak ini.
12) Kita iri hati dengan orang lain yang menguasai dunia, tetapi kita malas. Alasannya, kita berebut akhirat.
13) Sedangkan dunia yang di hadapan mata pun disia-siakan, akhirat yang tidak berada di tangan pula yang disiul-siulkan.
Comments
Post a Comment