Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi
“Pertanian ialah Perniagaan” | “Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya”
Antara mutiara kata yang masih terngiang dari seorang negarawan yang tenang, berhemah dan disegani. Dan hari ini, tokoh kelahiran Pulau Mutiara itu telah pergi menyambut panggilan Ilahi. Al-Fatihah. Tun Abdullah Ahmad Badawi (1939–2024).
Dalam kalangan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah adalah sosok yang berpengalaman menelusuri berita dunia dan memahami geopolitik global.
Tempoh kepemimpinan beliau (2003–2009) berlaku dalam era yang amat kritikal:
• China masih belum menjadi kuasa global,
• Rusia mula menunjukkan taring melalui Vladimir Putin,
• BRICS baru saja ditubuhkan,
• dan Amerika Syarikat di bawah Presiden George W. Bush berada di puncak hegemoni global, menyerang Iraq tanpa dapat dihalang sesiapa.
Namun, tanda-tanda keruntuhan kuasa unipolar sudah mula kelihatan — strategic fatigue akibat campur tangan ketenteraan yang berlebihan.
Di tengah kekacauan global ini, Malaysia memiliki pemimpin yang tidak lantang dengan retorik, tetapi bijak membaca arus. Tun Abdullah membawa pendekatan smart diplomacy yang stabil dan sederhana. Tidak mengganggu, tapi dihormati.
Salah satu warisan diplomatik paling besar beliau ialah Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang pertama pada tahun 2005 ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
Di sinilah lahirnya detik-detik yang membuktikan kematangan diplomasi Malaysia — menjadi jambatan antara tiga kuasa besar Asia Timur: China, Jepun dan Korea Selatan. Dari sinilah juga terbentuknya kerjasama yang kemudian menjadi RCEP — blok perdagangan terbesar dunia hari ini.
Satu peristiwa kecil yang besar maknanya: ketika Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi kehilangan dakwat pada pen-nya, beliau terpaksa meminjam pen dari Perdana Menteri China, Wen Jiabao — dua tokoh yang tidak bersetuju secara prinsip dan sejarah. Dan Malaysia, melalui ketenangan Tun Abdullah, menggerakkan isyarat damai itu.
Inilah seni diplomasi Malaysia. Halus, tidak mencuri tumpuan, tapi membawa dampak besar.
Tun Abdullah tidak melaungkan slogan bombastik, tetapi beliau membina ruang diplomasi dengan kesabaran dan kebijaksanaan.
Hari ini, seni itu semakin dilupakan. Namun legasi beliau kekal sebagai panduan — bahawa kekuatan sebuah negara bukan hanya terletak pada ekonomi atau senjata, tetapi juga pada nilai, hemah, dan keupayaan membina jambatan dalam dunia yang terbelah.
Comments
Post a Comment